Skuad badminton negara di bawah Program Road to Tokyo (RTT) melangkah ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dalam situasi yang sukar ditafsirkan hari ini.

Apakah pengorbanan yang mereka ambil itu berbaloi demi peluang untuk kembali mengerahkan keringat di gelanggang latihan?

Kesemua 16 pemain dan lima jurulatih yang terlibat akan dikuarantin di venue berkenaan sepanjang tempoh latihan yang ditetapkan.

Bagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, -- individu pertama yang melangkah ke ABM hari ini -- apa-apa sahaja tuntutan prosedur operasi standard (SOP) adalah satu kemestian demi meneruskan latihan.

"Kalau melihat kepada senarai SOP yang diberikan memang agak susah.

"Saya rasa kami semua adalah pemain profesional dan perlu berkorban untuk kembali menjalani latihan.

"Jika saya rasa ada sesuatu yang saya perlu korbankan untuk kembali berlatih, saya akan melakukannya," katanya.

Difahamkan, sesi latihan rasmi hanya akan bermula selepas kesemua yang terlibat menerima keputusan ujian saringan Covid-19 dalam dua atau tiga hari ini.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, menambah: "Memang agak teruja dan menarik sebab sudah lama kami tidak berlatih dan kami kini dibenarkan untuk kembali menjalani latihan.

"Kami perlu berehat dan dikuarantin selama dua hari dahulu kerana sewaktu pendaftaran, kami turut menjalani ujian saringan.

"Selepas menerima keputusan ujian itu, barulah kami boleh menjalani latihan," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menjelaskan prosedur ketat yang diperincikan bagi membolehkan Program RTT dijayakan adalah bertujuan untuk memastikan tiga kluster latihan (Di ABM, Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi) bebas daripada wabak Covid-19.

Keberkesanan fasa pertama itu berupaya membuka pintu kepada sukan lain untuk kembali berlatih secepat mungkin.

"Jumlah atlet sama ada di Bukit Jalil, Akademi Badminton di Bukit Kiara atau di Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, akan ada 207 orang (atlet)," katanya dalam sesi lawatan ke ABM hari ini.

"Kesemua atlet ini akan melalui garis panduan atau SOP yang amat ketat dengan menggunakan pendekatan berdasarkan kuarantin.

"Malah, mereka juga akan dipantau oleh satu jawatankuasa khas bagi memastikan setiap SOP dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

"Jadi pematuhan SOP ini sepanjang tempoh latihan adalah 100 peratus dan tiada kompromi.

"Untuk sukan-sukan lain, kami sedang berbincang dengan MSN dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan supaya mereka dapat mengemukakan SOP mereka," katanya.