Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjangkakan jumlah atlet yang sama dapat dikekalkan menjelang pengumuman senarai baru Program Podium di bawah pengendalian Institut Sukan Negara (ISN), esok.

Seramai 12 pemain badminton negara yang diketuai jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, berada dalam senarai itu.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, menjelaskan badan induk itu telah mencadangkan beberapa lagi nama kepada ISN untuk diserapkan ke dalam program berkenaan sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta, tahun depan.

"Dua minggu lepas, kami sudah membentangkannya kepada Program Podium.

"Kami mencalonkan kira-kira 20 nama. Badminton telah menghadiahkan pingat dalam Sukan Olimpik 2016 selain kejohanan penting.

"Kami berharap sekurang-kurangnya 12 atlet badminton terpilih dalam Program Podium," kata Chin Chai selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kejohanan Badminton Remaja Air Asia-BAM 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pemangku Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Tujuh negeri sudah pun melangsungkan kejohanan itu dengan BAM menjangkakan ia akan selesai sepenuhnya pada penghujung bulan ini dengan pusingan akhir peringkat kebangsaan akan dilangsungkan pada September tahun depan.

"Ini adalah kejohanan yang baik dan kali pertama diadakan di Malaysia. Setakat ini, kami memiliki 250 pemain dari 16 sekolah yang terlibat.

"Di peringkat permulaan, ini adalah satu petanda yang baik," kata Jahaberdeen.