Positif COVID-19, Wong Choong Hann lega atlet negara tetap ke Bangkok 

Oleh Shaiful Shamsudin 3 Januari 2021 415
 Positif COVID-19, Wong Choong Hann lega atlet negara tetap ke Bangkok 
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan rombongan 39 atlet dan jurulatih yang akan ke Bangkok untuk Kejohanan Terbuka Thailand sah negatif COVID-19 kecuali Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Dua kejohanan bertaraf Super 1000 di negara jiran itu yang bermula 12 Januari ini merupakan kejohanan luar pertama wakil negara sejak penularan pandemik tersebut.

Bagaimanapun, Choong Hann dilaporkan tidak mengalami sebarang gejala dan sedang menjalani protokol kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya dalam keadaan baik, tiada gejala cuma adakala berasa sakit kepala.  

"Saya agak terkejut sebaik mendapati positif. Saya tidak begitu gusar dengan keadaan sendiri walaupun banyak cerita mengenai COVID-19.

"Saya yakin mempunyai fizikal yang baik untuk pulih jadi saya tidak khuatir. Tetapi apa yang lebih membimbangkan saya ialah jika pemain dilarang ke Thailand. 

"Mereka telah menjalani persiapan rapi jadi saya pasti agak kecewa. Namun, saya lega mereka masih dapat mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya ketika diwawancara maya bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.


 

OFFICIAL: MALAYSIAN SHUTTLERS CLEARED TO DEPART FOR BANGKOK; CHOONG HANN TESTS POSITIVE Badminton Association of...

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Saturday, January 2, 2021


Justeru, individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat Choong Hann turun mengambil ujian dan difahamkan keputusan mereka adalah negatif.

Skuad negara yang disenaraikan beraksi di Thailand menjalani ujian calitan pandemik itu pada pagi semalam dan menerima keputusan memberangsangkan pada sebelah petang.

"BAM akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan semua aspek dan memantau dan mengawal ketat kawasan ini," katanya. 

Sementara itu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, turut memanjangkan cuti bagi skuad remaja negara yang sepatutnya melaporkan diri ke latihan pusat hari ini.

Pusingan pertama menyaksikan wakil  profesional negara, Liew Darren, menentang Anders Antonsen dari Denmark sementara perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, akan menghadapi pemain India, H.S Prannoy.

Dalam perkembangan terbaru, juara dunia dari Jepun, Kento Momota, dikesan positif COVID-19 sebelum berlepas ke Bangkok sebentar tadi.  

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen