Kuantan Synergy BC (KSBC) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Purple League Junior (PLJ) dengan rekod kemenangan bersih.

KSBC muncul juara edisi kelima PLJ selepas menundukkan Bandar Maharani BC 12-8 dalam final di Arena Sukan Sentosa, Kuala Lumpur semalam.

Ketua jurulatihnya, Azman Amman, berasakan kejayaan itu cukup bermakna buat pasukannya, yang juga pendatang baru saingan Divisyen 1 musim ini.

"Saya teramat gembira, saya tidak tahu hendak cakap apa.

"Daripada Divisyen 2 kepada Divisyen 1, kami memenanginya.

"Saya berasa bangga kerana pemain KSBC sememangnya bekerjasama," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Datuk Jack Koh, berpuas hati dengan tahap penganjuran musim ini selain meluahkan hasratnya untuk menambah penyertaan pasukan dalam musim akan datang.

"Tahun depan, kami sudah memiliki senarai kelab yang berminat (untuk menyertai PLJ).

"Ia termasuk dari Borneo.

"Ia sesuatu yang amat menggalakkan.

"Selama ini, bakat-bakat yang ada hanya dicungkil di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

"Apa yang kami cuba lakukan ialah untuk menembusi Pantai Timur.

"Mungkin Kelantan, Terengganu dan Perlis," katanya.