Kelab Badminton (BC) Bandar Maharani yang menghuni kedudukan ketiga Divisyen Satu saingan Purple League Junior (PLJ) musim lalu lega setelah mencatat kemenangan sulung mengatasi Bukit Cheras BC di Desa Petaling Sports Centre, sebentar tadi.

Selepas hanya seri 10-10 dengan Kepong BC semalam, Bandar Maharani BC mempamerkan aksi kurang konsisten, namun jurulatihnya, Yap Kim Heng, tetap lega dengan kemenangan 10-9 ke atas Bukit Cheras BC hari ini.

“Kami menyasarkan untuk mendapatkan kedudukan ketiga terbaik, sama seperti musim lalu. Saingan musim ini agak sengit dengan pasukan-pasukan menurunkan pemain muda terbaik mereka. Apapun bagi saya, saingan masih awal," kata Kim Heng.

“Dengan satu seri dan satu kemenangan setakat ini, kami masih berada di landasan. Saingan minggu pertama agak sengit untuk pasukan saya, apapun saya yakin kami akan bertambah kuat dengan kembalinya pemain utama, Muhd Fazrik Razif, selepas ini.

“Paling penting, saya mengharapkan pemain-pemain muda pasukan ini boleh belajar daripada rakan-rakan import bagaimana untuk menjadi pemain profesional kelak,” tambahnya.

Dalam perlawanan tadi, pemain perseorangan lelaki Bandar Maharani BC, Lim Chong King, menang 3-0 (11-6, 11-6, 11-10) mengatasi Low Eu Cong manakala dalam beregu perempuan, gandingan Bandar Maharani BC, Ajjima Thongchai- Yamolphat Thanesanukul, tewas 2-3 (5-11, 6-11, 11-9, 11-7, 10-11) kepada Joanne Ng May Yin-Toh Ee Wei.

Bagaimanapun, mereka kembali bangkit dalam acara beregu campuran menerusi Kim Jing Ning-Yap Roy King menerusi kemenangan bersih 3-0 (11-3, 11-6, 11-6) ke atas Shaun Wong Yau- Ting Ee Chin.

Pemain perseorangan perempuan Bandar Maharani BC, Piramon Chamnaktan, bagaimanapun tewas 2-3 (11-5, 11-9, 2-11, 9-11, 10-11) kepada Syalsabila Vahira.

Acara beregu lelaki menyaksikan Lee Yi Bo- Shyu Hao Zhe juga tewas 0-3 (8-11, 10-11, 9-11) kepada Chua Yue Chern- Lim Tze Jian. Namun, ia tidak menghalang Bandar Maharani BC untuk mengecapi kemenangan pertama dalam saingan kali ini apabila kutipan mata keseluruhan memihak mereka.

Tiga lagi aksi dalam Divisyen Satu memperlihatkan juara bertahan, Cheras BC, tewas 8-9 kepada Puchong United BC manakala Petaling BC dikecewakan Kepong BC 7-13 dan Ampang Jaya BC menang besar 12-3 menewaskan Puchong United BC.

Saingan Divisyen Dua pula menyaksikan Amanjaya BC unggul selepas memperoleh kemenangan ketiga berturut-turut dengan mengatasi Serdang BC 13-6 sambil Ayer Itam BC, Desa Petaling BC, Georgetown BC dan Kuantan Synergy turut menang ke atas lawan masing-masing.