Pemilihan membentuk skuad Piala Thomas tidak harus bersandar pada sentimen tetapi kepada individu yang paling sesuai dengan strategi pasukan.

Atas dasar itu, pilihan empat perseorangan lelaki untuk edisi 2020 daripada juara 1992, Rashid Sidek, yang dikongsi kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, mungkin buat peminat badminton tanah air tidak senang duduk.

"Saya akan memilih Lee Zii Jia, Liew Daren, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei," kata Rashid mengenai antara empat pemain untuk dibawa ke Denmark bagi saingan Piala Thomas.

"Jika saya memilih antara pemain ini sebagai strategi pasukan kerana mereka tidak semestinya akan beraksi dalam setiap perlawanan. Tetapi daripada segi rekod pertemuan serta pengetahuan mereka ketika berdepan lawan-lawan tertentu."

"June Wei antara pemain yang mempamerkan aksi yang berkualiti dalam saingan kelayakan Piala Thomas dan saya berasakan dia memiliki potensi yang tersendiri," katanya lagi.

Ditanyakan mengenai beregu negara, Rashid memilih untuk membawa Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Teoh Ee yi-Ong Yew Sin.

Dia menjelaskan, "Kehadiran mereka ke dalam pasukan mampu memberikan sedikit kebimbangan buat pasukan lawan kerana mereka telah menempah nama di pentas antarabangsa."