Piala Uber: Skuad perseorangan wanita gandakan usaha 

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2017 150
Piala Uber: Skuad perseorangan wanita gandakan usaha 
Meskipun selesai mengharungi musim 2017 yang menawarkan pelbagai cerita tersendiri, kem perseorangan wanita negara langsung tidak memperlahkan rentak dalam menanti cabaran 2018.

Dua saingan yang menjadi tumpuan badminton negara awal tahun depan adalah Kejohanan Masters Malaysia (Januari), disusuli Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Kedah, Kedah (Februari). 

Kempen di Alor Setar itu memainkan peranan penting memandangkan saingan itu akan menentukan wakil Asia yang akan bertarung dalam pusingan akhir Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand.  

Soniia Cheah sebagai pemain paling senior mengakui keperluan untuk layak ke Piala Uber sudah mula bermain di dalam fikiran skuad kendalian Datuk Tey Seu Bock itu. 

"Untuk Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar nanti, barisan pemain masih belum diumumkan lagi, namun ia cukup mencabar bagi kami kerana banyak pasukan lebih mantap berbanding kami seperti Jepun dan Korea Selatan. Taiwan juga semakin meningkat. 

"Begitupun, kami masih mampu layak ke pusingan akhir," kata Soniia. 

Skuad wanita layak ke pusingan akhir Piala Uber 2016 di Kunshan, China berdasarkan kedudukan ranking keseluruhan Malaysia di bawah peruntukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum ini.

Namun, kelebihan itu berkemungkinan besar tidak lagi dinikmati Malaysia susulan kemerosotan prestasi sepanjang musim 2017. 

"Ia menambah tekanan buat kami. Agak perit untuk layak bahkan untuk mencapai kedudukan empat pasukan terbaik (dalam Kejohanan Berpasukan Asia).

"Kami sedang berlatih dengan gigih untuk mencapainya," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen