Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, Lee Zii Jia bakal muncul sebagai perseorangan lelaki nombor satu Malaysia dalam kempen di Aarhus, Denmark, sejak Datuk Lee Chong memegang status itu bermula 2006 sehingga penampilan terakhirnya pada 2018.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan Malaysia tidak perlu gusar dengan kewibawaan atlet dari Kedah tersebut, apatah lagi dalam kem kebangsaan, ada jurulatih yang pernah memainkan peranan sebagai perseorangan pertama dalam kejohanan berpasukan itu.

"Saya tidak mahu berikan tekanan kepada Zii Jia, dia sendiri pun tahu.

"Dia akan cuba berikan terbaik, malah Hendrawan berpengalaman dan pernah beraksi dalam Piala Thomas termasuk Wong Choong Hann (pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia).

"Mereka akan bantunya," katanya hari ini.

Malaysia perlu melepasi halangan Indonesia, Belanda dan England untuk meraih dua tangga terbaik sekiranya berhasrat lolos ke suku akhir.

Sungguhpun barisan kejurulatihan belum mengumumkan barisan Malaysia ke sana, Chong Wei berpandangan perlunya menyenaraikan kudrat berpengalaman.

Ia membabitkan pemain daripada kem profesional seperti Liew Daren dan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang dijemput badan induk negara itu untuk menjalani pemilihan sehingga hujung bulan ini.

"Saya tidak pasti akan ada pemain lebih senior daripada Zii Jia yang menyertai pasukan, gabungan pemain muda dan berpengalaman perlu bekerjasama.

"Saya yakin Malaysia akan capai kedudukan dua teratas di samping Indonesia."