Piala Thomas: V Shem tidak terganggu dengan status kejohanan

Oleh Staff Writer 14 Julai 2020 105
Piala Thomas: V Shem tidak terganggu dengan status kejohanan
Di sebalik status Kejohanan Piala Thomas dan Uber yang masih menjadi tanda tanya, pemain beregu profesional negara, Goh V Shem, tidak terganggu dengan perkara itu dan berkeyakinan bahawa Malaysia akan dapat membentuk satu pasukan ampuh hasil gabungan pemain profesional dan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Selepas berehat seminggu, skuad badminton negara kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Seramai lapan pemain profesional turut menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini untuk menyertai latihan pusat berkenaan.

V Shem bersedia memberikan yang terbaik dalam sesi latihan itu bagi merebut tempat untuk menyertai Piala Thomas, Oktober ini selain Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"Pasukan Malaysia memang kuat, sekarang ada Lee Zii Jia dalam skuad perseorangan. Dia nampak yakin.

"Prestasi (beregu) Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga semakin meningkat. 

"Saya harap dapat beri saingan kepada mereka," katanya.

Bagi pemenang pingat perak acara beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon, agak sukar untuk menggambarkan perasaannya apabila kembali berlatih di ABM hari ini.

"Perasaan saya seperti pulang ke rumah. Saya sangat gembira dan berharap dapat belajar daripada satu sama lain, sama ada mereka belajar dengan saya atau sebaliknya," ujarnya.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, pula menegaskan latihan secara bersama itu mempunyai matlamat yang baik, iaitu meningkatkan kualiti pemain remaja negara.

"Dari awal lagi, tujuan latihan ini adalah supaya semua pihak mendapat manfaat. 

"Melalui 'sparring' yang lebih berkualiti, pemain boleh belajar sesama sendiri, terutama buat pemain muda yang akan dapat belajar teknik dan corak permainan yang bagus dengan mereka (pemain senior)," katanya.



Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, menganggap status Piala Thomas dan Piala Uber di Denmark, yang ditangguhkan buat kali kedua kepada Oktober depan, masih tiada perubahan selagi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang maklumat daripada BWF, yang menyatakan Kejohanan Piala Thomas dan Uber dibatalkan atau ditunda. 

"Jadi, bagi kami, selagi tidak terima maklumat tersebut, kita anggap sahaja kejohanan ini akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen