Peraturan yang ditetapkan Kerajaan Taiwan untuk menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari selepas ke luar negara memberi kesan kepada skuad badminton negara itu sehingga terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark, Oktober depan.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, skuad negara yang terlibat dengan kejohanan berpasukan itu tiada masalah untuk menjalani tempoh kuarantin sebaik pulang dari Denmark.

Tambahnya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, telah memberi lampu hijau buat skuad negara untuk ke Denmark bagi menyertai kejohanan berkenaan.

"Saya rasa pasukan Piala Thomas kita mempunyai peluang yang amat baik untuk ke peringkat tertinggi sekiranya kami dapat menghantar pasukan terbaik bagi acara perseorangan dan beregu lelaki," katanya kepada wakil Nadi Arena, Syakirah Zulkifli.

"Kami tidak mahu pemain berada dalam dilema dan perlu menyelesaikan perkara ini (keputusan untuk sertai kejohanan itu) dan apabila mereka memberikan komitmen, ia perlu komitmen 100 atau 200 peratus.

"Kerana Piala Thomas sewaktu (pandemik) COVID-19 adalah tidak sama berbanding Piala Thomas sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mengakui skuad negara perlu lebih berhati-hati mengenai soal kesihatan sepanjang berada di luar negara.

"Bukan saya sahaja, semua pemain pasti akan risau.

"Seperti yang Tan Sri (Norza) kata, apa yang akan mereka (penganjur) lakukan adalah memperkuatkan SOP (prosedur operasi standard), jadi ia boleh membantu kami sebagai pemain untuk memberikan fokus 100 peratus di dalam gelanggang dan bukannya 50-50," katanya.

Skuad badminton negara akan menjalani kem bina semangat selama empat hari di Pulau Tioman bermula esok.