Kegagalan penganjuran Piala Thomas dan Uber di Denmark tahun ini membuka perdebatan mengenai siapa yang harus memikul tangungjawab di atas kegagalan itu.

Kontinjen Asia menjadi sasaran mudah selepas keputusan beberapa pasukan berpengaruh seperti Thailand, Korea Selatan dan Indonesia untuk menarik diri daripada kedua-dua kejohanan berpasukan itu sehingga terpaksa ditunda ke tahun depan.

Bagi beregu lelaku nombor sembilan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, jika siri Kejohanan Jelajah Asia membabitkan tiga kejohanan yang dirancang berlangsung di Thailand hujung tahun ini tidak menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang memuaskan, ia juga akan membangkitkan kegusaran wakil negara yang akan bertanding.

"Saya tidak bersetuju (negara Asia punca Piala Thomas dan Uber ditunda) kerana kita negara Asia memang lebih mengutamakan kesihatan daripada segi SOP dan waktunya mungkin tidak berapa sesuai berdasarkan pandangan kami," kata Wooi Yik kepada Nadi Arena.

"Jadi kami sebagai pemain berasa teragak-agak untuk ke sana."

Aaron menambah: "
Jika di Thailand menggunakan SOP yang sama dengan penganjuran Piala Thomas, kami juga masih belum pasti akan menyertainya.

"Jika kami mahu pergi ke sana, kami perlulah berasa selamat.

"Jika anda ke sana dengan banyak kerisauan, ia pasti akan menjejaskan penganjuran kejohanan itu sendiri," katanya.