Penganjuran Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber di Aarhus, Denmark pada Oktober depan kini dalam kesamaran apabila salah satu pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, mengumumkan penarikan diri hari ini.

Difahamkan Persatuan Badminton Korea Selatan (KBA) mengambil keputusan itu dengan pandemik COVID-19 menjadi kebimbangan utama.

Laporan media Korea Selatan, sports-seoul.com, memetik seorang pegawai KBA sebagai berkata keputusan penarikan diri itu dicapai ketika mesyuarat jawatankuasa prestasi pemain bersama Presiden KBA hari ini.

KBA sepatutnya bermesyuarat pada 18 September ini untuk memuktamadkan kedudukan mereka dalam saingan itu tetapi keputusan lebih awal diambil memandangkan keadaan pandemik itu yang semakin serius.

Penarikan diri Korea Selatan menjadikan mereka negara terbaru dalam senarai makin panjang negara peserta yang memutuskan untuk tidak beraksi di Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini.

Sebelum itu, Thailand mengumumkan penarikan diri selepas beberapa pemain utama negara itu enggan mengambil bahagian kerana bimbang dengan penularan COVID-19.

Antara negara yang sudah menarik diri ialah Taiwan, Rusia dan Australia.