Persoalan yang membelenggu warga badminton dunia kini mengenai status kejohanan berprestij, Piala Thomas dan Uber yang sekali lagi dalam kemungkinan tidak dapat dianjur berhubung jaminan keselamatan daripada pandemik Covid-19.

Difahamkan keputusan tersebut dibuat menerusi persidangan Majlis Jawatankuasa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) secara maya semalam.

Namun sehingga kini, masih belum ada kenyataan rasmi dari badan induk dunia tentang status kejohanan itu.

BAM pula telahpun menyediakan beberapa pelan sokongan seandainya saingan berpasukan itu tidak dapat dianjurkan terus tahun ini.

"Ia merupakan satu situasi yang sukar serta merumitkan. Jelas sekali ia amat mengecewakan namun mungkin BWF berdepan cabaran yang sukar dalam usaha untuk menganjurkan saingan Piala Thomas serta Uber," kata Pengarah Kejurulatih BAM, Wong Choong Hann.

BAM masih akan teruskan kejohanan Piala Presiden, iaitu saingan simulasi persediaan Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung 16 dan 17 September ini di Akademi Badminton Malaysia (BAM).

"Buat masa ini, kami akan meneruskan saingan Piala Presiden kerana kejohanan ini memastikan setiap pemain berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pertandingan," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Setiausaha Agung, Datuk Nazifuddin Najib, bersetuju sekiranya BWF menangguhkan penganjuran saingan Piala Thomas dan Uber 2020.

Ini susulan kegagalan badan induk dunia itu meyakinkan persekitaran kondusif buat penganjuran kejohanan ketika pandemik Covid-19.

"Kami telah lama berbincang dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM mengenai situasi Piala Thomas dan Uber. Buat masa ini, kami perlu menunggu sehingga situasi Covid-19 semakin pulih kerana jika berlakunya perkara tidak diingini, ia akan memburukkan lagi imej sukan ini," kata Nazifuddin.