Apa sahaja kebimbangan daripada kem Malaysia berkenaan penganjuran Piala Thomas/Uber 2020 sudah disuarakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Hari ini, badan induk negara itu bersemuka dengan organisasi dunia dalam menyampaikan kebimbangan barisan pemain Malaysia.

"BAM telah menyuarakan kegusaran pemain negara kepada BWF dan memberikan cadangan yang kami rasakan kerisauan dalam kalangan pemain.

"Kami mahu SOP (prosedur operasi standard) di hotel (penginapan) diperketatkan lagi.

"Kami difahamkan ada penghuni luar jadi saya berharap ia boleh dikhususkan buat pemain sahaja.

"Penonton hanya akan memenuhi kapasiti stadium sebanyak 30 peratus tetapi kami melihat perkara ini daripada segi SOP, iaitu mengenai langkah kawalan mereka ke atas penonton," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Jalil, hari ini.

Dia juga menjelaskan pemain-pemain masih bersemangat untuk mengibarkan cabaran negara di Aarhus, Denmark, hujung bulan ini.

"Buat masa ini kami ada mendapatkan maklum balas daripada pemain tetapi setakat ini, mereka dilihat begitu bersemangat untuk ke Denmark dan bersedia memberikan yang terbaik.

"Mereka cuma perlu fokus kepada aksi di atas gelanggang manakala kami akan cuba bantu masalah yang mereka hadapai di luar gelanggang.

Pemain beregu lelaki, Aaron Chia yang bergandingan di samping Soh Wooi Yik juga menyuarakan sentimen serupa walaupun mengakui gusar dengan langkah tuan rumah yang tidak mengetengahkan program kuarantin.

"Hati kami lebih menjurus untuk berkorban demi negara.

"Kami ada bangkitkan beberapa soalan, mungkin penginapan kami di sana perlu dikenakan larangan kemasukan kepada orang luar.

"Ia boleh membuatkan kami rasa lebih selamat, membantu minda kami.

"Kalau sudah sampai, kami akan curahkan segala kudrat tanpa memikirkan perkara lain selagi kejohanan belum berakhir," katanya.