Jurulatih skuad perseorangan badminton negara, Datuk Tey Seu Bock, berpendirian bahawa barisan pemain perseorangan lelaki negara masih memiliki kelebihan ke atas Indonesia menjelang Kejohanan Piala Thomas di Denmark, Oktober depan.

Malaysia diundi bersama Indonesia dalam Kumpulan A selain Belanda dan England, dan Seu Bock berasakan skuad negara tidak perlu gentar untuk berdepan musuh tradisi itu walaupun Indonesia diletakkan sebagai pasukan pilihan dengan skuad yang dikatakan hampir sempurna.

Di atas kertas, skuad Indonesia dilihat berkelebihan dengan pemain seperti Anthony Ginting dan Jonatan Christie tetapi jurulatih itu menegaskan Malaysia tidak perlu terlalu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan mata sebaliknya lebih fokus kepada peningkatan prestasi.

"Mungkin kita ada sedikit kelebihan kerana semua tahu bahawa beregu Indonesia agak kuat tetapi mereka masih perlu memperoleh dua atau tiga mata daripada skuad perseorangan.

"Jadi, tekanan itu mungkin lebih dirasai mereka dan tiada apa untuk dikesalkan oleh Malaysia.

"Kami ada perancangan tentang bagaimana untuk memperoleh mata bagi menewaskan mereka tetapi pemain sendiri perlu terlebih dahulu melakukan yang terbaik untuk diri mereka sebelum kami melakukan apa-apa perancangan," katanya.