Penantian menyaksikan skuad Piala Thomas generasi baru negara membuat penampilan terus berpanjangan sehingga Oktober apabila saingan itu telah ditangguh ekoran pandemik koronavirus namun dalam diam ada di antara pemain beregu negara, Aaron Chia, berani menjadikan pentas final di Denmark sebagai sasaran.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Badminton Denmark hari ini mengesahkan Final Piala Thomas dan Uber 2020 di Aarhus, Denmark akan dilangsungkan 3-11 Oktober tahun ini.

Ketika persembahan skuad badminton generasi baru negara menjadi sesuatu yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia, sasaran ke final yang diletakkan oleh Aaron merupakan sesuatu matlamat yang boleh dianggap sebagai pemangkin mereka.

"Melangkah ke suku akhir dan separuh akhir tidak mustahil dan kini ia telah dilanjutkan, kami memiliki lebih banyak masa untuk memberikan tumpuan kepada saingan Piala Thomas kali ini," kata Aaron yang diwawancara wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani menerusi panggilan video.

Bercakap mengenai Covid-19, Aaron berkata, "Hampir dua bulan tidak dapat beraksi di gelanggang, walaupun menjalani latihan di rumah, saya berasakan ia masih tidak cukup. Bagaimanapun, ia adalah peluang untuk saya meluangkan masa bersama keluarga ketika ini."