Cabaran perseorangan ketiga negara dalam saingan Piala Thomas sangat penting kerana bakal memikul tugas menghadirkan mata kemenangan jika kedudukan terikat 2-2.

Ini percaturan yang yerlu difikirkan Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih kebangsaan.

Nama Iskandar Zulkarnain Zainuddin bermain dalam fikirannya memandangkan anak buahnya itu memiliki pengalaman beraksi dalam saingan Piala Thomas dan Siri Super.

"Kalau sudah sekian lama beraksi, sudah tentu dia memiliki pengalaman untuk bermain.

"Cuma sekarang ini bergantung kepada lawannya. Kalau diikutkan menerusi sesi latihan, saya yakin dia boleh bermain (memberi saingan)," kata Misbun menjelang Piala Thomas pada Mei nanti.

Namun, berdasarkan ranking, Iskandar kini menduduki tangga ke-99 dunia, dengan pemain muda seperti Lee Zii Jia yang menghuni kedudukan ke-42 dunia tampak lebih menyerlah apabila muncul pemain perseorangan lelaki nombor dua negara selepas Datuk Lee Chong Wei.

Misbun enggan membuat sebarang spekulasi dan hanya akan mengumumkan senarai akhir pada Khamis depan selepas pertemuan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

"Kami akan mengadakan satu lagi mesyuarat terakhir dan ia akan diumumkan nanti.

"Tugas saya adalah mempersiapkan pemain-pemain ini," ujarnya.