Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Badminton Denmark hari ini mengesahkan Final Piala Thomas dan Uber 2020 di Aarhus, Denmark akan dilangsungkan 3-11 Oktober tahun ini.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund, berkata, berikutan keputusan kerajaan Denmark 6 April lalu untuk menyambung larangan ‘perhimpunan besar’ di Denmark sehingga akhir Ogos, kedua-dua pihak bersetuju bahawa tarikh yang telah diubah, 15-23 Ogos untuk penganjuran kejohanan itu, kini tidak lagi sesuai.

Lund berkata, BWF dengan perbincangan dan persetujuan Badminton Denmark, penganjur kejohanan Sport Event Denmark, dan kerajaan tempatan Aarhus, merumuskan Oktober adalah penyelesaian terbaik.

“Keutamaan kami ialah kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet, kakitangan, sukarelawan, pengadil dan keseluruhan komuniti badminton.

“Kami mengikut nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pelbagai pakar kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Denmark, dan adalah jelas menganjurkan satu acara besar seperti Final Piala Thomas dan Uber sebelum bulan September, adalah suatu yang sukar,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan BWF hari ini.

Lund berkata, mereka yakin dengan tahap keselamatan dan kejayaan kejohanan tersebut pada tarikh 3-11 Oktober itu nanti, namun dalam masa sama, memantau secara dekat jika keadaan berubah lagi kemudian.

Final Piala Thomas dan Uber ditangguhkan buat kali kedua, di mana tarikh asal penganjurannya pada 16-24 Mei, sebelum ditangguhkan ke 15-23 Ogos akibat keadaan kesihatan global yang semakin buruk.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Badminton Denmark Bo Jensen berkata, mereka sedih untuk mengubah tarikh kejohanan itu buat kali kedua, tetapi apa yang menjadi kegusaran mereka ialah mengenai keselamatan kesemua yang terlibat dalam keadaan yang tidak menentu ini.

“Ia satu kejayaan bagi kami untuk menjadi negara pertama di luar Asia untuk menjadi tuan rumah kepada Final Piala Thomas dan Uber dan kami mahu menerima peminat, pemain, sukarelawan, pegawai dan kakitangan dalam keadaan yang paling selamat,” kata Jensen.

-- BERNAMA