Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berpuas hati dengan undian saingan Piala Thomas yang menggambarkan Malaysia sudah pasti ke suku akhir.

Bagaimanapun, Choong Hann tidak mahu anak buahnya terlalu selesa dan ingin menyasarkan untuk menjuarai dalam Kumpulan A -- menghadapi Indonesia, Belanda dan England -- bagi mempermudahkan laluan ke suku akhir.

"Ia satu undian yang seimbang, kami tidak sabar-sabar untuk menghadapinya.

"Walaupun akan bertemu pasukan pilihan, secara keseluruhannya kami akan berikan saingan.

"Kami mahu muncul selaku dua pasukan teratas seterusnya mara ke pusingan kedua," katanya hari ini.

? “We have to raise our bar and prepare ourselves well instead of worrying too much about our opponents,” - Choong Hann. #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Monday, August 3, 2020

Di sebalik keselesaan skuad lelaki, pasukan Piala Uber menyaksikan Choong Hann ibarat menerima realiti akan kebarangkalian kegagalan skuad wanita ke peringkat suku akhir.

"Skuad Piala Uber merupakan pilihan ketiga atau keempat dalam Kumpulan A di belakang Korea Selatan dan Indonesia.

"Namun, kami tetap berpeluang sekiranya mengambil kesempatan dan membuat kejutan besar di peringkat kumpulan," katanya lagi.

Sementara itu, bekas finalis Piala Thomas 1998 dan 2002, Roslin Hashim, ketika dihubungi berpandangan ia laluan berliku tetapi peluang tetap terhidang buat barisan pemain negara.

"Mungkin agak sukar tetapi tidak salah untuk letakkan sasaran menjuarai kumpulan.

"Tetapi kita perlu tengok pemain negara sendiri. Kedua-dua beregu lelaki Indonesia kuat, bahagian perseorangan pula menyaksikan Lee Zii Jia boleh tewaskan Jonathan Christie, cuma beregu agak sukar.

"Kalau Indonesia turunkan barisan utama, agak payah sikit, " katanya.