Piala Thomas: Pencapaian Chong Wei pengaruhi ranking negara 

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2017 1320
 Piala Thomas: Pencapaian Chong Wei pengaruhi ranking negara 
Kebangkitan Datuk Lee Chong Wei di pentas dunia bukan sahaja memulihkan reputasinya, malah ranking dunia Malaysia menjelang kelayakan Piala Thomas dalam Kejohanan Berpasukan Asia, Februari nanti. 

Perkembangan itu disahkan pengurus skuad Piala Thomas negara, Datuk Ng Chin Chai, dalam Malaysia merencanakan strategi bagi memastikan layak merebut piala berprestij itu di Bangkok, Thailand, Mei depan. 

Ketika ini, Malaysia tidak boleh bergantung kepada ranking dunia untuk layak ke Piala Thomas andai gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah. 

Begitupun, pencapaian Chong Wei kebelakangan ini berupaya membantu memperbaiki ranking negara apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengemas kini ranking bulan depan. 

"Dia (Chong Wei) banyak membantu kami. Kemenangan dalam Terbuka Hong Kong dan pencapaian dalam Siri Super Final (di Dubai, minggu lalu) pasti akan membantu Malaysia mengumpul mata dan melonjakkan ranking Malaysia. 

"Justeru, saya harap kami akan terpilih sebagai pasukan pilihan dalam undian Kejohanan Berpasukan Asia. Kami menetapkan kemaraan ke separuh akhir untuk layak secara automatik atau kami terpaksa mengharapkan ranking dunia sebagai pintu belakang untuk layak," katanya. 

Jika kesemua perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini dilihat pendekatan terdesak, mungkin itulah hakikatnya. BAM sendiri sedar ia pasti satu malapetaka sekiranya Malaysia buat julung kalinya gagal melayakkan diri ke Piala Thomas. 

"Kami perlu merancang untuk layak. Langkah pertama adalah dalam program latihan. Yang kedua, kami perlu memastikan ranking pemain negara di tahap tinggi agar kami dapat layak," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen