Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, optimis kehadiran pemain profesional dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, tidak merencatkan peluangnya dan gandingannya, Soh Wooi Yik, untuk membarisi skuad kebangsaan ke Piala Thomas di Denmark, dari 3 hingga 11 Oktober 2020.

Beregu lelaki utama negara itu mengakui latihan bersama pemain profesional banyak menawarkan manfaat, tetapi Aaron menganggap perasaan kompetitif perlu ada untuk melahirkan persaingan yang sihat antara mereka.

Aaron-Wooi Yik sudah mencapai keserasian sejak mula berlatih bulan lalu namun masih ada ruang untuk memperbaiki permainanan di atas gelanggang.

"Ia 50-50 peratus memberi kelebihan selain mewujudkan rasa kompetitif.

"Kami boleh saling beraksi sebagai rakan sepelatih," katanya.

Dalam pada itu, gandingan profesional negara, Teo Ee Yi -Ong Yew Sin, gembira untuk kembali ke ABM buat julung kalinya selepas digugurkan daripada skuad kebangsaan, awal tahun lalu.

"Kami mahu berikan yang terbaik, malah walaupun tidak terpilih ke Piala Thomas sekalipun, ia merupakan kesempatan kepada kami untuk berlatih di sini," kata Ee Yi.

Yew Sin pula berkata: "Seperti sudah lama tidak balik ke 'rumah' BAM.

"Ada sedikit berbeza. Kami kini berstatus sebagai profesional, tetapi kami masih berasa selesa.

"Bergelar pemain profesional juga ada kebaikannya, ia mengajar kami erti berdikari kerana jurulatih kami yang di luar mempunyai ramai anak didik, jadi kami perlu menjaga diri sendiri."