Jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, memberi jaminan mampu untuk mempersiapkan pemainnya seperti yang digesa Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, untuk menghadapi saingan Piala Thomas 2018.

Norza menyuarakan perkara itu menerusi Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Selasa lalu memandangkan Malaysia dilihat tiada pemain yang mampu menjadi sandaran dalam kempen itu.

Hanya jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, yang berada dalam kedudukan selamat dan sudah dijamin slot untuk membawa cabaran negara di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Misbun memberi jaminan menjelang Januari ini, dia sudah mampu memberi gambaran siapa yang akan mengisi baki tiga slot dalam acara perseorangan lelaki untuk menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Thomas dan Piala Uber.

"Saya mahu Kejohanan Berpasukan Asia nanti menjadi platform untuk saya mengukur prestasi pemain atau kami perlu mengadakan pilihan kedua sebelum Mei nanti," katanya.

Penilaian Misbun juga bukanlah berdasarkan ranking semata-mata, sebaliknya prestasi semasa bakal dijadikan ukuran.

Terdapat kemungkinan Misbun bakal menggunakan pemain muda seperti Lee Zii Jia, namun semuanya hanya akan ditentukan pada Januari 2018.

"Semua pemain mengimpikan untuk bermain dalam Piala Thomas. Saya tidak mahu terlalu memikirkannya dan kalau diberi kepercayaan, saya pasti berjuang untuk negara," ujar Zii Jia.