Kelompok pemain badminton profesional kebangsaan kini bertekad untuk menggunakan peluang terhidang tatkala Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini cuba memperkasakan skuad menjelang kempen Piala Thomas 2020.

Kunjungan ke pangkalan kem beregu profesional diketuai Goh V Shem dan Tan Wee Kiong di Sri Petaling tampak membangkitkan aura positif selepas sekian lama terperap di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat, sebelum ini.

Bukan sahaja persekitaran gelanggang latihan mereka dilengkapi dengan mekanisma mencegah penularan wabak Covid-19, malah beregu itu turut didampingi tiga perseorangan lelaki professional iaitu Liew Darren, Song Joo Ven dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang lazimnya hanya berlatih di cheras.

Berdasarkan perancangan BAM, pemain yang dikenalpasti sebagai calon pembentukan skuad Piala Thomas 2020 akan dikumpulkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pertengahan bulan depan.

“Pengalaman memang kami ada, jadi diharapkan dapat membantu skuad negara,” kata V Shem.

“Bagi saya, Darren memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan saya dan Joo Ven kerana dia masih mampu melakar keputusan baik tetapi ia bergantung kepada situasi akan datang,” tambah Iskandar Zulkarnain.