Walaupun masih berbaki dua bulan, kehangatan saingan Piala Thomas sudah mula dirasai.

Ketika Malaysia lebih realistik dalam meletakkan sasaran, Indonesia pula tidak berkompromi untuk turun dengan mentaliti menjuarai Piala Thomas di Denmark pada Oktober depan.

Perkara itu dikongsikan bekas pemain perseorangan nombor satu negara itu, Tommy Sugiarto, dalam satu temu bual bersama wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani, sambil menegaskan betapa Indonesia mempunyai skuad sempurna bagi menghadapi edisi kali ini.

"Berdasarkan undian peringkat kumpulan, sudah pasti Indonesia berharap untuk menjadi juara jika Piala Thomas dapat dianjurkan tahun ini.

"Bagi saya, pasukan untuk edisi kali ini lebih baik berbanding sebelumnya kerana kami sudah mempunyai pemain dengan kekuatan yang agak setara untuk diletakkan sebagai perseorangan pertama, kedua dan ketiga sedangkan beregu lelaki kami mungkin antara yang terbaik di dunia," katanya.



Skuad negara diundi bersama Indonesia dalam Kumpulan A selain Belanda dan England dan mengulas mengenai pertemuan negaranya dengan Malaysia, Tommy menambah: "Saya rasa apabila Indonesia diletakkan sekumpulan dengan Malaysia, sudah pasti ia satu pasukan yang perlu diperhatikan dalam kumpulan ini.

"Malaysia sudah pasti akan memberikan tentangan yang amat hebat buat Indonesia tetapi saya fikir Indonesia mempunyai peluang yang lebih baik."