Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggesa dua jurulatih, Datuk Misbun Sidek dan Cheah Soon Kit, agar menyiapkan segera barisan pemain negara bagi menghadapi Piala Thomas di Bangkok, Thailand, dari 20 hingga 27 Mei tahun depan.

Sehingga kini, Malaysia boleh dikatakan tidak mempunyai pemain yang benar-benar mampu diharapkan selain Datuk Lee Chong Wei untuk bersaing dalam kejohanan itu.

Kurang empat bulan daripada Piala Thomas 2018 membuka tirainya, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, berharap Misbun dan Soon Kit mampu menyediakan pemain untuk menggalas cabaran negara.

"Saya mahu Misbun dan Soon Kit beritahu saya pada Januari ini, siapa barisan pemain yang akan menyertai Piala Thomas. Di mana pemain persorangan kita? Di mana pemain beregu?

"Saya perlu tahu, jadi dia boleh merancang. Ia juga mengenai ranking," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, hari ini.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Kedah, Februari ini, yang turut menjadi kejohanan kelayakan bagi Piala Thomas dan Uber 2018.

Hanya empat pasukan di peringkat separuh akhir kategori lelaki dan wanita akan mendapat slot automatik ke Piala Thomas dan Uber 2018.

"Kita tidak boleh tukar-tukar (pemain) dan tiba-tiba kita perlu terus menentang China. Perkara seperti ini harus difikirkan. Rancangan ke arah Piala Thomas bermula pada akhir tahun ini," katanya.

Selain itu, Norza turut menegaskan BAM akan menyingkirkan pemain yang tidak menepati sasaran ditetapkan menerusi sistem penilaian ranking dalaman.

"Kami akan buat (penilaian) dua kali setahun, yang paling dekat adalah Februari dan selepas itu pada Ogos.

"Kami akan membuat ranking dalaman dan juga mahu ketua jurulatih kita mengenal pasti persembahan pemain pada setiap masa," katanya.

Dalam pada itu, BAM turut mengupah pakar psikologi dari luar negara bagi mengatasi masalah kelemahan mental pemain ketika bertanding.