Sasaran Malaysia untuk muncul juara Kumpulan C, Kejohanan Badminton Piala Sudirman tidak kesampaian apabila tewas 3-2 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, malam ini.

Harapan yang disandarkan pada beregu lelaki negara Tan Wee Kiong-Goh V Shem untuk menyumbangkan mata pertama negara tidak berhasil apabila tunduk dalam tiga set kepada
Takeshi Kamura-Keigo Sonada 21-18, 17-21 dan 16-21 dalam tempoh 60 minit perlawanan.

Walaupun bermula baik untuk memenangi set pertama, Wee Kiong-V Shem kemudian gagal untuk menjawab perubahan strategi beregu Jepun apabila tewas dua set berikutnya.

"Set yang kedua, mereka melakukan pertukaran strategi dan kami gagal untuk mengikut rentak permainan mereka," kata Wee Kiong.

Kekalahan beregu lelaki negara ini tampak memberikan tekanan ke atas perseorangan wanita negara Goh Jin Wei, yang turun menentang pemain ranking ketiga dunia, Akane
Yamaguchi.

Selepas tewas mudah set pertama 21-6, Jin Wei cuba bangkit di set kedua namun Yamaguchi terlalu ampuh sekaligus tewas 21-17.

"Kekalahan yang amat mengecewakan kerana saya banyak melakukan kesilapan," kata Jin Wei.

Seperti sudah diramalkan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei memberikan mata pertama dengan menewaskan pemain muda Jepun, Yu Igarashi 21-8, 21-5 dalam hanya
34 minit untuk menjadikan kedudukan 2-1 buat Jepun.

"V Shem dan Wee Kiong telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan mereka, kami mengetahui mereka tidak berada di tahap terbaik. Apa yang penting adalah mengelak
daripada mengalami kecederaan yang lebih serius," kata Chong Wei.

Malaysia melakukan rombakan kepada beregu wanita dengan merehatkan pasangan utama, Vivian Ho-Woon Khe Wei dan menurunkan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menentang juara
Olimpik 2016, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

"Kami sudah membuat persiapan yang rapi untuk berdepan mereka, saingan agak sengit namun beregu wanita Jepun lebih baik daripada kami," kata Meng Yean.

Pertama kali bertemu menyaksikan Mei Kuan-Meng Yean memberikan tentangan hebat sebelum tunduk 17-21, 18-21 dalam tempoh 50 minit sekaligus menyaksikan Jepun meraih
mata kemenangan 3-1.

Perlawanan terakhir menyaksikan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing berjaya menewaskan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam pertarungan sengit tiga
set 21-16, 16-21 dan 21-19.