Kelab Badminton (BC) Petaling mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan SS Purple League (SSPL) 2018/19 setelah menang 15-4 ke atas Bandar Maharani BC di Gem In Mall, sebentar tadi.

Dalam aksi pembukaan Jumaat lalu, Petaling BC terpaksa akur tewas tipis 9-10 kepada Ampang Jaya BC biarpun mempersembahkan permainan melawan.

Dalam perlawanan tadi, Cheam June Wei terlebih dulu memungut mata kemenangan buat Petaling BC dalam perseorangan lelaki selepas menang mudah 3-0 (11-7, 11-8, 11-5) ke atas Teh Jia Heng.

Pemain perseorangan wanita, Lim Yin Fun, meneruskan pungutan mata penting buat pasukannya apabila mencatatkan kemenangan 3-2 (8-11, 11-4, 3-11, 11-7, 11-4) mengatasi pemain lawan, Yap Rui Chen.

Pungutan mata Petaling BC bertambah kukuh selepas Aaron Chia-Man Wei Chong pula meraih kemenangan dalam acara beregu lelaki apabila menang 3-1 (11-6, 11-9, 9-11, 11-6) ke atas gandingan Bandar Maharani BC, Ooi Jhy Dar-Yap Roi King.

Gandingan Singapura dan Australia, Danny Bawa Chrisnanta-Gronya Somerville, yang beraksi dalam acara beregu campuran selepas itu melebarkan lagi kutipan mata Petaling BC. Mereka menewaskan pasangan Bandar Maharani BC, Mohd Razlan Shah-Yap Yee 3-1 (11-7, 11-8, 9-11, 11-8).

Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki memastikan mata kemenangan menjadi milik Petaling BC setelah menumpaskan Soo Teck Zhi 3-1 (11-5, 6-11, 11-6, 11-7).

Pemain Petaling BC, Gronya, yang ditemui selepas perlawanan berkata: “Saya rasa hari ini kami lebih bersedia dan bersemangat untuk perlawanan ini. Berbanding perlawanan sebelum ini, saya rasa semakin selesa. Cuma dalam set ketiga, angin serta sedikit kesilapan menyebabkan kami tewas.”

“Selepas mencatat, kemenangan hari ini, kami lebih yakin dengan kekuatan pasukan dan akan melakukan yang terbaik menentang pasukan lain yang juga agak kuat dalam SSPL,” tambah Gronya.

Petang tadi, Puchong United BC selaku juara bertahan beraksi baik untuk mendapatkan kemenangan kedua setelah mengatasi Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 15-5 di venue sama.

Puchong United terdahulu mengatasi Tebrau City BC 13-8 dalam aksi pertama mereka semalam.