Barisan bekas pemain badminton kebangsaan meluahkan kesediaan untuk membantu meningkatkan kembali prestasi skuad badminton negara yang kian malap di pentas antarabangsa selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria. tempoh hari.

Ong Ewe Hock adalah antara bekas pemain ditemui Norza yang menyatakan kesediaan untuk membantu memperbaiki tahap persembahan pemain negara ketika ini.

Sebelum ini, BAM memberikan bayangan untuk merombak struktur kejurulatihan ekoran prestasi merudum dalam kempen Piala Sudirman.

Namun, Ewe Hock menegaskan jika kerjasama ini akan dijalankan, BAM harus mengambil serius dalam mendengar segala pandangan bagi kebaikan sukan badminton Malaysia.

"Saya memberitahu bahawa kita akan balik memberi bantuan tetapi yang paling penting jika mahu membuat perubahan, jadi perlu membuat perubahan yang besar, bukannya berskala kecil," jelas Ewe Hock.

Turut dibincangkan di antara Norza dan barisan bekas pemain adalah cadangan menubuhkan persatuan bekas pemain badminton negara.

Malaysia sehingga kini masih tidak ada satu pertubuhan untuk bekas pemain badminton.

Bekas pemain, Wong Choong Hann, melihat ia sebagai satu mekanisme yang baik dalam meluahkan pandangan serta memberikan idea bagi perkembangan sukan badminton di Malaysia.

"Aspek pembangunan pemain dan pelapis perlu ditingkatkan lagi. BAM perlu melihat segala pandangan bekas pemain ini sebagai tanda kami memandang serius perkara ini," ujar Choong Hann.