Pemain negara, Lee Zii Jia, mahu menjadikan persaraan Datuk Lee Chong Wei sebagai azimat untuk meneruskan legasi perseorangan lelaki kebangsaan dalam dunia badminton.

Meskipun berduka dengan persaraan legenda negara itu, Zee Jia akur dengan keputusan jaguh negara itu setelah menamatkan karier selama 19 tahun.

Tumpuan kini terarah kepada Zii Jia sebagai perseorangan lelaki utama selepas memikul tanggungjawab itu ketika saingan Piala Sudirman di Nanning, China.

Walaupun menghadapi tekanan, dia yakin pengalaman kian mematangkannya untuk menggalas cabaran tersebut.

"Saya rasa ia satu peluang baik untuk pemain muda. Kami harus berusaha lebih keras kerana kalau tanpanya, kami tidak meraih keputusan yang baik. Kami harus mengejar keputusan itu," katanya.

Selain mahu melakar pengorbanan seperti idolanya, Zii Jia berharap dapat bekerjasama dengan Chong Wei dalam mempertingkat prestasinya di masa akan datang.

"Saya rasa ini satu pilihan yang bagus untuk pemain lain kerana Chong Wei sememangnya pemain berpengalaman. Kami juga harap dapat bekerjasama dengan dia lagi."

Sementara itu, pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing dan Shevon Lai, turut terkesan dengan persaraan legenda negara itu.

"Rasa sedih kerana saya rasa bukan senang untuk dia buat keputusan begini tetapi kesihatan lebih penting. Jadi, semua orang akan faham keputusannya," ujar Pei Jing.

"Memang sangat sedih untuk melihat seorang legenda terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan. Semoga dia cepat sembuh dapat menikmati kehidupan bersama keluarga," tambah Shevon.