Perseorangan wanita negara, S. Kisona, mendedahkan bahawa dia kini mendapat sambutan hangat daripada peminat sehingga berasakan dirinya dihargai persis idolanya, Datuk Lee Chong Wei, selepas memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Filipina baru-baru ini.

Kisona mencipta kejutan apabila meraih pingat emas perseorangan wanita meskipun tidak diletakkan sebarang harapan memandangkan dia hanya disenaraikan sebagai pengganti kepada juara bertahan, Goh Jin Wei, yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan usus.

Bagaimanapun, dia menepis segala keraguan itu dengan menyingkirkan beberapa nama besar sepanjang laluannya membutirkan emas dalam penampilan pertamanya itu.

Dalam perlawanan akhir Sukan SEA di Kompleks Sukan Muntinlupa, Manila, 9 Disember lalu, Kisona (ke-104 dunia) mengalahkan Ruselli Hartawan (ke-37 dunia) dari Indonesia 20-22, 21-14, 21-13.

Jelas, apa yang dilakukannya itu mendapat perhatian peminat tempatan sejak dia kembali menjejakkan kaki di tanah air.

"Mungkin ia perasaan yang sama seperti apa yang dirasakan Datuk Lee Chong Wei kerana semua orang sudah mula mengenali saya dan perasaan itu amat berbeza," katanya dalam temu bual Nadi@1 sebentar tadi.

"Sejak menjejakkan kaki di lapangan terbang, semua orang sudah mula mahu mengambil gambar dengan saya, jadi ia amat berbeza dan saya amat teruja.

"Bagi saya, ia sesuatu yang positif kerana ia membuatkan saya mahu melakukan sesuatu yang lebih bagus pada pada masa akan datang.

"Ia memberikan saya aura positif.

"Saya amat meminati Datuk Lee Chong Wei, semua orang menyayanginya.

"Saya mahu menjadi sepertinya, dia idola saya," katanya.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia, mustahil untuk Kisona meraih kejayaan itu memandangkan kebanyakan pencabarnya berada di kedudukan ranking yang lebih tinggi.

Namun, semangat juang dan sikap tidak mahu mengalah memastikan dia mengatasi misi mustahil itu untuk bergelar ratu badminton Asia Tenggara yang baru.

"Pada awalnya, saya agak tertekan kerana sudah jauh ketinggalan berbanding pencabar lain.

"Rakan-rakan saya sudah mula mencabar di luar negara, jadi saya amat sedih kerana tidak dapat menyaingi mereka.

"Ranking dunia saya juga sudah jatuh banyak kerana kecederaan tetapi saya tidak mudah mengaku kalah.

"Saya percayakan diri saya untuk meneruskan perjalanan ini tetapi tidak pernah menyangka akan mendapatkan pingat emas buat Malaysia.

"Sebelum Sukan SEA, sasaran saya adalah untuk meraih sebarang pingat untuk negara," tambahnya.

Sepanjang acara individu itu, Kisona tidak pernah menang dalam set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya.

Kecenderungan itu menyaksikan dia kini mendapat gelaran ratu kebangkitan badminton Malaysia.

"Sebenarnya, saya sudah biasa melakukannya dalam setiap kejohanan sebelum ini.

"Apabila tewas dalam set pertama, saya akan bangkit dengan lebih kuat untuk memenangi perlawanan.

"Saya sentiasa memastikan kekuatan mental saya berada di tahap terbaik, jadi ia akan membantu saya untuk bangkit dalam set kedua," katanya lagi.