Sandaran utama perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou, tiada pilihan selain terpaksa mengharungi jadual padat bagi memastikan misi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Sukan Para Asean tetap dapat dicapai biarpun mengalami penundaan.

Tindakan tuan rumah, Filipina, menunda temasya sukan itu kepada Mac depan ternyata memberi kesan buruk kepada semua yang bertanding, termasuk Liek Hou yang terpaksa merombak perancangannya awal tahun depan.

Ia mencetus perasaan serba salah memandangkan dua kejohanan antarabangsa di Brazil dan Peru bermula Februari depan penting kerana menawarkan mata untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik sambil dia turut mahu mempertahankan pingat emas dalam Sukan Para Asean bagi kategori perseorangan lelaki SU5.

Dalam erti kata lain, Liek Hou hanya mempunyai tempoh tiga minggu untuk bersiap sedia sejurus dua kejohanan itu tamat 23 Februari depan tatkala Sukan Para Asean Filipina bakal bermula 18 Mac nanti.

"Bukan mudah untuk mendapatkan pingat. Kami perlu ada jalan dan perancangan yang betul, ditambah dengan latihan yang tepat. Jika tidak, kami tidak akan mencapai kejayaan dalam Paralimpik kerana usia sudah lanjut dalam edisi seterusnya, mungkin saya tidak larat lagi ," katanya.

Memandangkan kalendar untuk pemain para sudah tamat, dia turut mempertimbangkan untuk menyertai beberapa kejohanan bertaraf rendah, bersaing dengan pemain normal bermula Jun depan.

Ia sebagai antara persiapan untuk mempersiapkan diri bagi cuba merangkul emas di Tokyo nanti.

"Kejohanan terakhir untuk badminton para adalah pada Jun depan di Kanada. Selepas itu, mungkin saya akan menyertai kejohanan yang berdekatan untuk mengekalkan prestasi."