Pengorbanan Peng Soon demi negara

Oleh Muzaffar Musa 23 Jun 2020 187
Pengorbanan Peng Soon demi negara
Kehadiran cahaya mata keempat membawa semangat berbeza buat pemain beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon, biarpun dia kini perlu menggalas bebanan berganda selaku wakil negara dan seorang bapa.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menjelaskan bagaimana dia hampir pengsan kerana terlalu  tertekan dengan bebanan itu sejak skuad badminton negara kembali menjalani latihan secara kuarantin minggu lalu.

"Tiba-tiba saya berasa pening sehingga tidak boleh bangun, jadi saya meminta abang saya untuk menghantarkan saya ke hospital.

"Selepas menjalani pemeriksaan, nasib baik segala-galanya tiada masalah.

"Saya amat gembira untuk menjalani latihan kerana saya amat merindukan gelanggang.

"Minggu lalu, kami hanya melepaskan kerinduan di gelanggang, jadi minggu ini, segala-galanya menjadi semakin baik," katanya.

Dalam pada itu, gandingannya, Goh Liu Ying, berkongsi perasaan kekok ketika menjalani latihan sambil mengakui bahawa dia memerlukan sedikit masa untuk kembali mendapatkan keserasian bersama Peng Soon. 

"Prestasi kami seperti kekuatan pukulan juga menurun, jadi kami perlu menjalani latihan fizikal.

"Keserasian saya bersama Peng Soon juga tidak berapa baik.

"Akhir sekali, kalau boleh, kami mahu menyertai kejohanan pada Januari depan kerana sudah lama tidak menyertai kejohanan, jadi ia memerlukan masa," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen