Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, menegaskan kepentingan pengaruh Datuk Lee Chong Wei yang akan disunting bagi memantapkan Projek 24, Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Chong wei semalam menyatakan kesediaan untuk kembali ke kem kebangsaan bagi membantu barisan kejurulatihan meningkatkan prestasi skuad perseorangan lelaki.

Antara agenda yang menjadi perhatian Chong Wei adalah perkembangan semasa Zii Jia yang melalui musim padat memburu emas Sukan SEA Filipina 2019 dan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagi Zii Jia, apa sahaja input daripada Chong Wei adalah penting bukan sahaja buat kepentingan peribadinya tetapi apa sahaja program yang dirancang BAM.

"Walaupun sudah bersara, Chong Wei masih lagi memikirkan tentang barisan perseorangan negara. Saya berharap dia dapat membantu kami untuk mencapai sasaran," kata Zii Jia.

"Menyertai banyak kejohanan bagi tahun ini amat penting dalam mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik dan saya berpandangan ia sesuatu yang baik buat setiap pemain kerana ia adalah peluang untuk memperbaiki lagi mutu permainan."