Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi kelonggaran kepada dia dan gandingannya, Goh Liu Ying, untuk menjadi rakan sepelatih bersama skuad negara sekurang-kurangnya tiga hari seminggu walaupun sudah tidak bergelar pemain kebangsaan, tahun depan.

Permintaan itu sudah dibincangkan dengan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, di mana mereka mengharapkan permohonan itu dapat dipertimbangkan walaupun bakal bergelar pemain profesional musim depan.

Peng Soon menganggap ia sebagai situasi terbaik di antara mereka dan badan induk itu untuk terus membantu satu sama lain di mana pemain muda juga masih berpeluang untuk berlatih bersama beregu nombor satu negara tersebut.

Andai permintaan itu ditunaikan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berharap perancangan berkenaan akan berterusan sehingga ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sekurang-kurangnya saya dapat kembali bersama rakan sepasukan. Ia menang-menang untuk semua kerana pemain muda juga memerlukannya.

"Jika BAM menolak cadangan itu, kami perlu mencari pilihan luar," katanya.

Peng Soon yang bersama Kelab Badminton Ampang Jaya ditemui dalam majlis amal sempena kempen saingan SS Purple League hari ini yang turut dihadiri oleh Lee Zii Jia dan pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

"Purple League baru bermula. Sebenarnya saya sedang bercuti tetapi menamatkannya kerana Purple League," tambah Peng Soon.