Peng Soon, Liu Ying sudah matang tentukan masa depan -- Cheh Chang

Oleh Staff Writer 17 Disember 2018 177
Peng Soon, Liu Ying sudah matang tentukan masa depan -- Cheh Chang
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, menganggap tiada risiko buat Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying meninggalkan skuad kebangsaan kerana gandingan itu sudah matang untuk menentukan hala tuju karier mereka.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima keputusan Peng Soon-Liu Ying selepas pasangan itu menghantar surat perletakan jawatan kepada badan induk berkenaan, 29 November lalu.

Jelas Cheh Chang, keputusan itu tidak mengejutkanya kerana kedua-dua pemain itu telah bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat mereka untuk keluar daripada BAM.

"Mereka banyak menyumbangkan kejayaan kepada negara dan kerap membantu pemain-pemain muda.

"Mereka juga sudah cukup matang untuk membuat keputusan.

"Secara peribadi, saya mengizinkan hasrat mereka untuk keluar daripada BAM," katanya.

Selepas sedekad digandingkan, pelbagai kisah turun-naik dialami Peng Soon-Liu Ying, dengan detik paling manis sudah pasti ketika meraih pingat perak Sukan Olimpik di Brazil pada 2016.

Ketiadaan mereka dalam skuad kebangsaan menyaksikan tugas itu kini digalas dua gandingan lain, iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Selain itu, dua lagi gandingan muda, iaitu Cheng Tan Jie-Peck Yen Wei serta Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, juga dapat diketengahkan bagi memperkuat beregu campuran negara.

"Kebanyakan pemain muda pernah menimba ilmu dengan Peng Soon dan Liu Ying.

"Sudah sampai masanya untuk mereka memikul tanggungjawab yang sebelum ini dipikul gandingan tersebut," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen