Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, mengambil keputusan meneruskan latihan bersama pemain profesional lain meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bersambung.

Menyedari kelebihan berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM), bapa kepada empat cahaya mata, Peng Soon, jelaskan tiada alasan untuk tidak meneruskan latihan di Sri Petaling.

Sebelum ini, pasangan itu bersetuju dengan syarat ditetapkan BAM untuk bersama skuad kebangsaan dalam tempoh dua minggu.

"Kami memiliki kekurangan rakan sepelatih bagi saingan beregu campuran dan memilih keputusan berlatih di BAM akan memastikan kami membuat persiapan menghadapi kejohanan," kata Peng Soon.

Dalam masa sama, Peng Soon, turut berkongsi persiapan bersama Liu Ying menjelang Terbuka Thailand Januari nanti berjalan lancar.

Meskipun penglibatan di kejohanan itu mungkin menyebabkan dia berpisah dengan keluarga selama dua bulan.

"Tiada pilihan dan kami perlu menyertai kejohanan kerana ia adalah tanggungjawab saya sebagai atlet. Saya sudah bersedia untuk menghadapi tempoh dua bulan tidak bertemu keluarga," kata Peng Soon lagi.