Pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, mengakui perlu bekerja keras untuk mengekalkan aksi konsisten dalam baki tempoh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berakhir 30 April depan.

Ia susulan ranking pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu jatuh dua anak tangga daripada kedudukan kelima ke tangga ketujuh.

Kedudukan itu juga tidak meletakkan Peng Soon dan Liu Ying dalam undian yang selesa.

Bagaimanapun, hanya 16 pasangan terbaik yang bakal beraksi di Tokyo nanti dan untuk satu negara memiliki dua wakil dalam Sukan Olimpik, mereka perlu berada di kedudukan lapan terbaik kelayakan.

"Suasana dalam gelanggang kerap kali berbeza bagi setiap perlawanan. Saya berasakan sangat selesa kali ini dan melakar kemenangan," kata Peng Soon.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Masters Malaysia selepas menundukkan gandingan muda negara, Low Hang Yee-Lim Chiew Sien, 21-7, 21-11.

"Kami meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Tokyo 2020. Mengutip mata dalam setiap kejohanan yang disertai amat penting untuk mencerahkan peluang kami beraksi dalam Sukan Olimpik," kata Liu Ying.



Editor: Ammar Hakim