Peng Soon hidap penyakit saraf muka

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2019 8660
Peng Soon hidap penyakit saraf muka
Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, berkemungkinan besar terpaksa menangguhkan kerjaya kompetitif selepas disahkan menghidap penyakit saraf muka bell's palsy.

Buat masa ini, Peng Soon masih menantikan nasihat pakar perubatan terhadap prosedur rawatan yang perlu dijalaninya.

Dia disahkan menghidap bell's palsy ketika beraksi dalam saingan Akhir Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, China yang berlangsung sehingga hari ini.

Penghidap bell's palsy secara lazimnya akan mengalami kesan pada sebelah bahagian muka yang turut menjejaskan penglihatan.

"Pada mulanya, sukar untuk menerima apabila ia menggugat persiapan saya menghadapi saingan kelayakan Sukan Olimpik," kata Peng Soon.

Tambahnya, situasi itu sama sekali memberikan tekanan tambahan ketika dia dan gandingannya, Goh Liu Ying, memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain badminton seluruh dunia akan berehat seketika penghujung bulan ini sebelum musim depan kembali membuka tirai menerusi penganjuran Masters Malaysia bermula 7 Januari ini.

"Saya masih lagi menunggu keputusan doktor untuk terus beraksi ataupun sebaliknya. Jika tidak dapat beraksi, saya akan terus menjalani latihan ringan sehingga sembuh sepenuhnya."

Sementara itu, situasi yang menimpa Peng Soon turut memberi tempias emosi kepada Liu Ying, menerusi perkongsian bersama pemenang pingat perak Rio 2016 itu dan dia menyifatkan hujung tahun 2019 sebagai waktu paling menguji buat mereka.

Liu Ying, yang sebelum ini juga pernah diuji dengan pelbagai kecederaan serius, mengharapkan agar Peng Soon segera sembuh demi kesihatan dan keluarganya.

"Perkara yang dialami Peng Soon berlaku secara tiba-tiba dan ia menggugat usaha kami melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Saya berharap Peng Soon sembuh secepat mungkin dan kami boleh cepat kembali beraksi," jelas Liu Ying.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen