"Penantian itu satu penyeksaan," itu luahan jurulatih badminton profesional negara, Mohd Razif Abdul Latif, berkongsikan bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, yang sedang menunggu perkhabaran mengenai masa depannya sebagai ketua jurulatih badminton Ireland.

"Saya baru sampai di Malaysia minggu lepas sebab saya ada mendapat tawaran untuk ketua jurulatih badminton Ireland.

"Saya sudah menjalani temuduga dan sekarang saya tengah menunggu keputusan mereka."

Ditanya mengenai jurulatih baru untuk mencipta nama, adakah dengan pergi ke negara yang kurang popolar dengan permainan badminton adalah pilihan yang tepat, ini jawapan Razif; "Bagi saya, betul juga.

"Pada pandangan saya, sebelum untuk kita mencipta nama, kita perlu pergi ke negara yang agak tidak kuat tetapi di Ireland ada juga beregu mereka yang layak untuk ke Olimpik.

"Dengan menjadi jurulatih dan mencipta nama dinegara kecil ini, kita dapat menimba pengalaman dan berkemungkinan untuk menjadi jurulatih untuk negara sendiri agak cerah.

Razif terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha bersendirian tanpa keluarga yang tersayang disebabkan oleh menjalani kuantin wajib 14 hari yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia

"Kalau diikutkan, Hari Raya Aidiladha saya lagi sedih berbanding Hari Raya Aidilfitri kerana saya telah berada di Malaysia tetapi saya tidak dapat beraya bersama keluarga.

"Lagi yang membuatkan hati menjadi sayu, apabila saya membuka pintu dan terdengar takbir raya membuatkan saya teringat dekat keluarga.

"Buat keluarga di Sabah, saya mengharapkan mereka berada dalam keadaan sihat dan berharap agar mereka bersabar kerana saya akan pulang ke sana tidak lama lagi."