"Prestasi turun naik Lee Zii Jia menampakkan betapa status sebagai nombor satu Malaysia hanya berdasarkan ranking dunia," kata ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tanpa merendahkan kredibiliti anak buahnya itu.

Namun, peminat badminton tanah air perlu memahami dan bersabar dengan pembentukan kerjaya pemain itu sebagai antara yang sedang meningkat naik ketika ini.

Dalam dua saingan di Eropah, iaitu Kejohanan Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan ini, Zii Jia tersingkir dalam pusingan pertama.

"Buat masa ini, Zii Jia merupakan pemain nombor satu negara disebabkan rankingnya.

"Permainannya masih agak mendatar dan masih ada 40 hingga 45 peratus (mutu permainan) yang perlu dicari.

"Ia daripada segi ketekalan pukulan, kecergasan, strategi, taktikal dan ketahanannya.

"Masih banyak aspek (yang perlu diperbaiki) dan dia tidak boleh mengambil jalan pintas," kata Misbun.

Disebabkan itu, perancangan jurulatih yang menyelia program Zii Jia ketika ini, iaitu Hendrawan, akan menjadi lebih penting.

Misi peribadi Zii Jia untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia sebelum penghujung 2019 semakin sukar dengan baki kejohanan kompetitif yang kian berkurangan.

"Jurulatih yang menyusun (program) untuknya, dia hanya mengikut sahaja.

"Kalau dia sudah pandai, dia tidak perlukan jurulatih.

"Jurulatih menyusun segala-galanya, dan setelah dia ikut nanti, dia akan dapat.

"Tetapi jika permikirannya tidak sampai (ke tahap itu), siapa yang mahu mengajukannya?

"Sama seperti (Datuk Lee) Chong Wei dahulu, dia memenangi setiap kejohanan, jadi latihan apa yang diperlukannya?" soal Misbun.