Meskipun terus kempunan beraksi dalam sebarang kejohanan setakat ini, beregu lelaki negara, Aaron Chia, mempunyai tanggapan sendiri mengenai keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang membatalkan empat kejohanan antarabangsa.

Baginya, keputusan itu adalah tepat kerana tahap kesihatan menjadi keutamaan ketika ini.

"Kejohanan yang dibatalkan merupakan pertandingan pemanas badan, jadi masih ada kejohanan lain lagi yang boleh kami sertai.

"Biarlah kami gigih mempersiapkan diri sebelum kejohanan menyertai aksi kompetitif," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

September depan sepatutnya menjadi medan buat mendapatkan kembali momentum bersaing di atas gelanggang sebelum pemilihan pemain yang akan membarisi skuad kebangsaan ke Piala Thomas, Oktober depan.

Kejohanan yang dibatalkan termasuklah Terbuka Taiwan, Terbuka Korea, Terbuka China, dan Terbuka Jepun bermula 1 hingga 27 September.

Perasaan bercampur baur tetap Aaron menganggap ia memberi lebih ruang buatnya dan rakan sepasukan mendapatkan momentum asal terlebih dahulu.

"Kami akan mengharungi satu kejohanan dalaman -- dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) -- jadi kami boleh gunakan ia pentas untuk mendapatkan rentak kejohanan," katanya.

Di kala pemain membayangkan akan mula sibuk dua bulan lagi, tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan, bermula dengan Terbuka Taiwan, Korea, China dan Jepun, semuanya sah dibatalkan.