Prospek remaja yang diserap ke skuad senior kebangsaan ada segala bakat diperlukan untuk dibentuk sebagai jaguh masa depan badminton negara seperti yang ditegaskan Pengarah Teknikal Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek.

Antara yang memimpin graduan 2021 ke skuad senior adalah alumni Kem Badminton Astro, Jacky Kok, dalam perseorangan lelaki dan gandingan nombor satu remaja dunia.

"Ini merupakan hari pertama dan kami telah mendapat taklimat daripada jurulatih Hendrawan. Kemudian sangat teruja dan tidak mahu terlalu tertekan dalam usaha mendapatkan prestasi yang terbaik," kata Jacky.

'Saya mahu berusaha, berlatih dengan keras dan memberikan yang terbaik."

Secara keseluruhan, sembilan nama diserap ke skuad senior termasuk Jacky serta seorang lagi perseorangan lelaki, Ong Ken Yon.

Myisha Mohd Khairul satu-satunya tambahan perseorangan wanita untuk skuad senior.

"Pada mulanya agak gementar tetapi saya cuba menyesuaikan diri dalam latihan bersama skuad senior. Perkara paling penting adalah keyakinan untuk memajukan permainan saya," katanya.

Sementara selebihnya tenaga bagi skuad beregu lelaki dan wanita.

Beregu remaja terbaik dunia yang kini bersama abang senior adalah gandingan kebanggaan Pantai Timur, Wan Arif Wan Junaidi dan Haikal Nazri.

Kesemua pemain tersebut berusia 19 tahun bagaimanapun perlu merebut tempat untuk kekal dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM) memandangkan mereka perlu melalui tempoh percubaan.

Bagaimanapun Misbun menegaskan tanggungjawab untuk memastikan mereka tidak tenggelam atau jatuh terletak bahu jurulatih skuad senior.

"Apa yang telah kami usahakan kepada barisan pemain remaja ini adalah memberikan kefahaman yang terbaik dan saya berasakan mereka memiliki masa depan cerah bersama skuad senior," kata Misbun.

"Kami telah mempersiapkan mereka untuk ke peringkat ke lebih tinggi, mereka telah memiliki asas bagi peralihan daripada peringkat remaja kepada peringkat yang lebih tinggi. Saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh," kata Misbun.