Kesemua acara akhir Cabaran Antarabangsa Malaysia 2016 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu esok bakal menampilkan kelibat pemain muda negara.

Terdahulu dalam aksi separuh akhir, impian Soniia Cheah untuk mara ke final musnah apabila dia ditunjukkan jalan keluar oleh rakan senegara, Ho Yen Mei, 11-21, 21-18, 14-21.

Dalam pertarungan yang berlangsung selama 53 minit itu, Soniia akur tewas dalam set pertama sebelum bangit untuk mengikat kedudukan dalam set kedua.

Memasuki set penentuan, ternyata Yen Mei memiliki lebih kekuatan mental untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya 21-14. Menanti Yen Mei dalam final ialah Sayaka Takahashi dari Jepun.

Dalam pada itu, aksi beregu campuran yang turut menyaksikan wakil negara berentap sesama sendiri di antara Goh Soon Huat-Shevon Jemei Lai dan Tan Wee Gieen-Peck Yen Wei, berpihak kepada Soon Huat dan Shevon yang hanya memerlukan 37 minit untuk menempah slot ke final.

Soon Huat dan Shevon yang menang mudah 21-19, 21-14, bakal membuat perhitungan dengan Yang Po-Hsuan dan Wen Hao Yun dari Chinese Taipei, yang menewaskan lawan mereka dari Filipina, 21-13, 21-18.

Sementara itu, gandingan Amelia Alicia Anscelly-Teoh Mei Xing, gagal untuk melepasi Tembok Besar China apabila pasangan Jiang Binbin-Tang Pingyang, meranapkan impian mereka untuk ke perlawanan akhir dengan keputusan 17-21, 21-18, 21-16.

Bagaimanapun, Malaysia tetap mempunyai wakil di pentas final dalam acara beregu wanita apabila satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan pasangan negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, menewaskan pasangan Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata, 23-21, 14-21, 21-15.

Aksi perseorangan lelaki yang menemukan pemain remaja negara, R. Satheishtharan, dan wakil Thailand, Suppanyu Avihingsanon, berlangsung sengit ketika kedua-dua pemain itu saling mengejar mata untuk memastikan tempat dalam perlawanan akhir.

Keyakinan yang cukup tinggi ditampilkan oleh Satheis dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 11 minit itu yang membawanya ke final selepas menewaskan Suppanyu, 22-20, 20-22, 21-16.

Kemenangan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen, 21-17, 23-21 ke atas pasangan Jepun, Taiki Shimada-Yoshinori Takeuchi, membawa pasangan beregu lelaki negara itu ke pentas final dan bakal bertemu pasangan dari Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Han.