"Saya perlu peningkatan ranking dalam memperbaiki banyak ruang dalam skuad remaja badminton negara."

Demikian tegas ketua jurulatih, Kwan Yoke Meng, selepas aksi hambar dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Russia bulan lalu.

Skuad negara sekadar menamatkan saingan acara berpasukan di tempat kesembilan berbanding tempat kelima musim lalu selain rata-rata acara individu hanya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Lebih-lebih lagi gandingan beregu campuran yang merupakan senior dalam skuad remaja, Yap Roy King–Gan Jin Err, yang sepatutnya membantu mengutip mata kemenangan tetapi dikecewakan wakil Hong Kong dalam acara berpasukan manakala terkandas dalam acara individu di peringkat suku akhir di tangan wakil Thailand.

Kini, jurulatih berkenaan menuntut anak buahnya supaya didedahkan dengan pelbagai kejohanan dalam misi menaikkan ranking mereka menjelang Kejohanan Dunia tahun depan.

"Saya tidak mahu berikan alasan.

"Selain Roy King, Jin Err dan Ooi Jhy Dar, pemain selebihnya bukanlah pemain pilihan dalam kejohanan.

"Walaupun kalah di peringkat awal seperti beregu lelaki, iaitu Ching Kai Feng-Lwi Sheng Hao, namun mereka mempamerkan prestasi yang bagus sebelum tunduk kepada juara, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, dari Indonesia," katanya.

Skuad muda negara bakal menghadapi Kejohanan Belia Antarabangsa di Korea Selatan hujung bulan ini selain Kejohanan Belia Singapura bulan depan.

"Pemain yang sudah berumur 19 tahun perlu beralih ke bahagian senior atau menjadi pelapis.

"Sementara itu, kami mungkin akan lebih menekankan pemain berumur 17 tahun untuk terbabit dalam banyak kejohanan," tambahnya.