Layanan istimewa tidak wujud dalam skuad perseorangan wanita negara apabila tiada pengecualian buat pemain daripada digugurkan menyertai sebarang kejohanan andai tidak mengekalkan mutu ketika sesi latihan.

Itu keutamaan yang dituntut ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, dalam usaha mengangkat martabat skuad wanita.

Ini juga bermakna pemain berstatus bintang seperti Soniia Cheah dan Goh Jin Wei tidak lagi boleh bersandarkan kepada reputasi meskipun mereka merupakan taruhan terbaik untuk Malaysia memperoleh keputusan dalam kejohanan antarabangsa.

"Untuk menjadi seorang juara, pemain-pemain negara harus menerima sebarang tekanan serta perubahan dalam aspek latihan. Mereka perlu menerima dan mempelajari perkara-perkara baru," kata Seu Bock.

"Semua pemain perlu sentiasa mempertingkatkan mutu permainan. Bukan hanya Jin Wei ataupun pemain-pemain yang menghadapi kejohanan sahaja.

"Bagi saya, sikap dan latihan adalah penting, bukan setakat mencapai keputusan sahaja. Kalau setakat menang satu kejohanan sahaja, tidak guna juga," tambahnya.

Seu Bock juga berasakan sudah tiba masa buat Jin Wei melupakan saingan remaja dan fokus sepenuhnya kepada kempen sebagai pemain senior pada musim 2018.



Dia, yang layak untuk beraksi dalam kategori remaja dalam tempoh setahun lagi, akan memberi laluan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan gagal mengembalikan status sebagai juara remaja dunia.

"Saya mahu dia fokus kepada kejohanan di peringkat senior. Tidak guna kalau dalam hatinya mahukan kejayaan dalam Kejohanan Remaja Dunia. Kalau ingin pergi lebih jauh, sikapnya perlu diubah."