Pemain badminton nombor dua dunia, Chou Tien-chen, akan mengadakan sesi perkongsian dan pertunjukan kepada peminat di Arena Badminton Perak, Ipoh, pagi esok.

Pemain berasal dari Taiwan itu didatangkan khas oleh sebuah syarikat membuat peralatan sukan apabila Tien-chen bertindak sebagai dutanya.

Pengarah Sanctband Global, Koh Yek Joo, berkata pemain itu akan menunjukkan bagaimana peralatan yang dipakainya boleh membantu.

"Kami menjemput pemain dan jurulatih badminton di seluruh Perak untuk menghadiri acara ini.

"Tien-chen akan menunjukkan cara-cara memanaskan badan selain mengadakan perlawanan dengan beberapa pemain yang telah dipilih," katanya.

Katanya lagi, pihaknya sudah menjemput 500 orang yang terdiri daripada jurulatih dan pemain bagi program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Badminton Perak (PBP) itu.