Pemain naungan BAM jadi pilihan utama

Oleh Staff Writer 25 November 2017 563
Pemain naungan BAM jadi pilihan utama
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan lebih mengutamakan kemampuan pemain-pemain di bawah naungannya untuk membawa cabaran Malaysia dalam Kejohanan Piala Thomas 2018 di Bangkok, sekaligus bakal mengetepikan barisan pemain profesional.

Sebelum ini, BAM mengambil sikap terbuka untuk memberi peluang buat mana-mana pemain bebas, khususnya di bahagian perseorangan, bagi menyertai skuad negara dalam acara berpasukan itu.

Ia disebabkan ada dalam kalangan mereka merupakan bekas pemain kebangsaan dan pengalaman mereka layak menjadi sandaran utama.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menjelaskan badan induk itu kini lebih menumpukan kepada pemain-pemain sedia ada di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek.

"Apa yang lebih penting adalah jika seseorang pemain itu diketengahkan, dia harus menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Seandainya kami mengambil pemain dari luar, kami tidak mahu sebarang masalah seperti isu kecergasan, sebagai contoh, hanya disebabkan tidak melalui proses terperinci yang dilakukan oleh BAM," katanya.

Kejohanan Berpasukan Asia yang dijadualkan di Alor Setar, Kedah pada Februari depan menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas dengan Malaysia perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

Dalam masa sama, Norza menganggap persaingan bagi memburu kejuaraan Piala Thomas kini lebih terbuka susulan peningkatan yang dipamerkan beberapa negara.

"Perkembangan Taiwan, Hong Kong, Thailand serta India agak menakutkan kami. Sebab itu, saya jelaskan kepada Datuk Misbun dan Cheah Soon Kit bahawa persediaan untuk menghadapi Piala Thomas tidak boleh diambil mudah sama-sekali," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen