Barisan pemain badminton negara akur dengan denda gantung tiga kejohanan yang bakal dikenakan jika tahap kecergasan mereka tidak mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Meskipun denda yang ditetapkan BAM dilihat berat, namun ia diusulkan untuk memberikan manfaat jangka masa panjang buat badminton Malaysia.

Apatah lagi badminton kian dimainkan dalam intensiti tinggi, yang menuntut pemain untuk mempunyai tahap ketahanan fizikal yang optimum.

"Saya berasa ramai yang berkata tahap kecergasan kami tidak berada di tahap yang terbaik dan mereka mahu kami menitikberatkan tahap kecergasan dan mungkin ini cara BAM," kata pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Bagi seorang lagi perseorangan wanita negara, Sonia Cheah, perlawanan memerlukan kualiti dan bukan hanya tertumpu kepada stamina semata-mata.

"Perlawanan bukan hanya tertumpu kepada stamina tetapi kelajuan, kekuatan dan kualiti sepanjang perlawanan.

"Stamina adalah penting tetapi ia merupakan salah satu faktor sahaja," ujarnya.

Namun bagi bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj, tahap fizikal dan kecergasan seseorang pemain adalah berbeza.

Program yang bakal dijalankan perlu mengambil kira semua faktor agar mampu diselaraskan dengan tahap semasa pemain itu sendiri.

"Saya berasa kami memiliki jurulatih yang mengetahui sejauh mana tahap kecergasan pemain ketika latihan dijalankan.

"Morten Frost merupakan Pengarah Teknikal BAM, saya berasa dia sendiri mengetahui kekuatan dirinya ketika bergelar pemain dan berapa banyak perlawanan seseorang pemain itu boleh melaluinya," jelas James.

Semalam, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM mengumumkan bakal melaksanakan program kecergasan lebih terperinci bermula Januari 2017.

Tempoh tiga bulan akan diberikan kepada semua pemain dalam skuad kebangsaan untuk mencapai tahap fizikal dan mental yang memuaskan.