Peluang beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk membuat penampilan dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan kian tipis susulan penyingkiran mereka dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland semalam.

Di atas kertas, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu sepatutnya tiada masalah untuk menewaskan gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Siedel.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila V Shem dan Wee Kiong tewas tipis 19-21, 19-21, sekali gus merencatkan usaha mereka untuk meraih lebih mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, V Shem berkata: "Ia bukan perlawanan yang terlalu sukar cuma kami banyak melakukan kesilapan mudah dan kalah disebabkan kesilapan sendiri.

"Undian juga nampak baik, jadi mungkin kami dapat beraksi lebih baik tetapi sudah tertewas dalam pusingan kedua. Ada sedikit kerugian daripada segi masa dan wang.

"Persiapannya sudah ada cuma peluangnya kini kelihatan sedah semakin kurang dan kami sudah tidak dapat buat apa-apa.

"Kami cuma boleh buat yang lebih baik dalam kejohanan yang seterusnya.

"Usaha mesti diteruskan. Selepas ini kami akan menyertai Kejohanan Seluruh England tetapi ia tiada mata kelayakan.

"Mungkin seterusnya dalam Terbuka Malaysia, Singapura dan India, jadi kami akan melakukan yang terbaik kerana kami juga ada penaja, jadi perlu buat yang terbaik," katanya.