Pada usia 36 tahun, pemburuan kejuaraan utama di arena badminton kekal sebagai keutamaan buat bintang negara, Datuk Lee Chong Wei, namun dia juga berupaya mencipta sejarah jika kembali bergelar pemain nombor satu dunia.

Peluang untuk Chong Wei serta lima lagi pemain dalam kelompok tujuh terbaik dunia merebut takhta kedudukan dunia menjadi perkara yang hangat selepas pemain terbaik dunia ketika ini, Viktor Axelsen, dijangka berehat panjang dan akan terlepas beberapa kejohanan penting, termasuk Seluruh England, berikutan pembedahan buku lali kiri yang dilaluinya.

Jika mengikut perancangan, Chong Wei berupaya muncul pemain paling tua yang memegang status itu dalam era moden badminton, bergantung kepada keputusan yang diraih dalam Seluruh England, bulan depan.

"Apa yang penting adalah aksi dalam kejohanan besar dan fokus kepada prestasi sendiri.

"Jika boleh, saya memang mahu mendapatkan semula status pemain nombor satu dunia," kata Chong Wei.

Dalam masa sama, Chong Wei yang dikenali dunia sebagai 'Raja Siri Super' sebelum ini, sedar bahawa 2018 bakal jadi penentu sejauh mana dia mampu mengerah kudrat menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya meletakkan fokus tinggi kepada persembahan dan mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan.

"Tahun ini adalah tahun penting buat saya, terutama Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Jika boleh, mungkin saya masih terus beraksi dalam masa empat tahun lagi," katanya.